Sabtu, 11 April 2009

ANIMASI

Animasi merupakan elemen yang paling diminati dan mendapat perhatian ramai. Hal ini kerana mampu menzahirkan sesuatu fantasi manusia ke alam yang nyata. Ianya juga membolehkan sesuatu yang agak sukar untuk diterangkan dengan menggunakan perkataan atau imej-imej statik disampaikan dengan lebih mudah dan berkesan. Penggunaan animasi dalam penyampaian maklumat juga dapat menceriakan proses penyampaiannya.

VIDEO

Video merupakan antara elemen multimedia yang dikatakan paling dinamik dan juga realistik berbanding elemen-elemen yang lain, misalnya seseorang pelajar dapat merasakan seolah-olah mereka berada dalam suasana yang digambarkan. Ianya juga dikatakan merupakan gabungan pelbagai media ( seperti teks, grafik, audio dan sebagainya ) di dalam satu medium serta dapat menyampaikan sesuatu mesej dengan dinamik dan mampu merangsang pelbagai deria dengan lebih mudah dan berkesan. Oleh yang demikian, penggunaan video dalam proses penyampain maklumat berupaya untuk mempengaruhi motivasi seseorang terhadap proses penerimaan maklumat. Video juga mampu membawa unsur realistik atau keadaan sebenar kepada para pengguna. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi perasaan dan emosi para penggunanya dengan lebih nyata.

AUDIO

Kesan audio atau bunyi merupakan salah satu pedaya penarik yang berkesan untuk menarik perhatian seseorang. Audio dalam sesuatu sistem multimedia boleh merujuk kepada pelbagai jenis seperti rakaman suara, suara latar, muzik kesan khas audio dan sebagainya. Di dalam sesuatu sistem multimedia interaktif, elemen audio boleh digunakan bagi membantu proses penyampaian persembahan agar ianya lebih mantap dan berkesan. Selain daripada itu, elemen video juga dapat menimbulkan suasana yang lebih menarik dan menghasiklan tumpuan yang lebih terhadap apa yang ingin dipersembahkan.

GRAFIK

Grafik merujuk kepada pelbagai persembahan imej atau paparan visual yang tidak bergerak seperti gambar, lukisan, lakaran, gambar foto, ilutrasi, dan sebagainya. Ianya merupakan antara elemen multimedia yang amat penting bagi member penekanan dalam suatu proses penyampaian maklumat. Penggunaan grafik dikatakan mampu menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih pantas dan tepat memandangkan ianya disampaikan dalam bentuk visual.

Grafik juga mampu menerangkan sesuatu maklumat dengan lebih tepat dan berkesan. Penggunaan graf atau carta misalnya mampu memaparkan peningkatan atau penurunan jumlah jualan bagi sesebuah syarikat dengan lebih berkesan berbanding penggunaan teks atau jadual semata-mata. Grafik juga mampu menjadikan sesuatu persembahan atau penyampaian maklumat lebih menarik dan mampu memfokuskan perhatian pengguna terhadap maklumat yang ingin disampaikan.